BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

SANTAPAN JIWA

WALAUPUN MALU  
TETAP MEMINTA SYURGA


Takutkan Neraka

Menyebabkan Kita Tidak Malu Meminta Syurga

Tapi kenapa Tidak Malu Berbuat Dosa?


Entah mengapa pada malam itu, 
taman itu lapang sekali ... tiada kesibukan,
kurang pergerakan. Semua tetamu berteleku
kaku dalam zikir dan fikir. Seketika bunyi 
dengus nafas di hala perlahan bersama rintihan.
Ada suara esakan tangis, namun  perlahan cuma.
Bunyi rintihan yang tertahan bersama alunan
bacaan Al-Quran bagai melodi yang sungguh
mengasyikkan ...
Aku masuk ke taman itu bagai sandera yang
parah. Kubawa hatiku yang rawan, fikiran 
yang kelelahan dan nafsu yang masih liar.
Aku tidak mahu dan mampu berpura-pura lagi.
Inilah diriku wahai ILLAHI ... tidak punya
kesucian tidak memiliki  keindahan yang 
dapat aku persembahkan. Inilah diriku yang
penuh cela dan noda ... tanpa dapat 
berselindung, KAU maha tahu segalanya ...
Mengapa takdirnya aku ke sini? Ke daerah suci
di bawah bayu. Terasa dingin, nyaman dan tenang.
Bukan kerana kebaikkanku, tetapi kerana kasih 
sayang-MU yang membawa ku ke sini. KAU izinkan
kaki dan hati yang berdosa ini singgah seketika
menatap jalur-jalur cahaya dalam relung diri yang 
gelap gelita ... 
Benar kata-MU ... keampunan-MU sentiasa 
mendahului murka-MU. Ku cecah dahi di 
hamparan hijau ... seakan kutuang segala kabut
dan serabut fikrah yang kusut.  Kunafikan licik 
dan strategik segala yang berdetik di minda ini ...
Fikrah ini yang mencipta dosa demi dosa ...
Sesah akal ini Ya Allah ... Palu akal ini Ya Rahman
dengan belantan inzar dan tazkirah-MU. TUHAN ...
kembalikanlah biduk akal ke pangkalan 
takdir-MU. Fikrah sudah letih belayar tanpa arah ...
Sujud dan rukuk aku di sana. Menelanjangi segala
aib dan dosa. Tanpa aku mengadu, KAU pun tahu.
Namun itulah wadah tanda menyerah. Aku
'Abdullah' ... aku hamba ALLAH. Aku pasrah ...
Aku Kalah ...
Cinta sekelumit cuma, hampir tiada. Saat ini ...
aku cuma berbekal harapan ... benteng 
terakhirku hanya rasa tidak putus asa ...
Kata kekasih-kekasih-MU, selalu memujukku ...
'Kejahatan yang menyebabkan engkau 
menangis, lebih baik daripada kebaikan yang
menimbulkan rasa takbur ...
Dalam rasa malu, takut dan harap ...
masih aku memberanikan diri untuk meminta
lagi ... lalu di malam itu ... di Raudhah itu ...
kucatatkan gugusan permintaan. Satu demi 
satu melalui puisi hati ... kubiarkan pena menari, 
mencari makna dan kata hanya berpandukan 
rasa ... Malam itu walaupun malu, aku tetap
meminta syurga pendahulu bicara ....
Ya Latif
berikan aku hati yang lain
yakni hati yang lebih yakin
hati yang lunak
agar mampu mencintai-MU ...
Malam itu adalah malam yang paling
panjang dalam sejarah hidupku. Dapatku
luahkan segala dan semuanya ... seakan
tercabut tulang yang mengait  dalam sanubari
sekian lama. Namun tiba jua saat berpisah
aku terpaksa melangkah ... pamitan pun 
berlaku  ... gamitan pun berlalu. Sayu 
benar ketika hatiku terus merayu ...
Aku  dambakan kebaikan
yang melahirkan kebaikan
aku pohon ketenangan
yang memberikan ketenangan ...


Pinggirkan segala sengketa
hampirkan segala cinta
tanpa dendam ...
tanpa perasangka ...


jika  benar yang kau di Raudah itu
hanya ALLAH ... 
(pmj)