BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday 30 November 2014

HIDUP UNTUK HIDUP

 Hiduplah selagi hidup
Jangan mati sebelum mati
Jangan pulang sebelum pergi

Perjalanan ini sungguh memenatkan ... Semakin ke hujung semakin penat sedang beban semakin bertambah ... tanggungjawab semakin sarat ... tapi adakah pilihan selain meneruskannya? Hidup selagi hidup ... jangan mati sebelum mati.

Peringatkanlah diri ... Kalau bermasalah di tengah jalan, teruskan perjalanan. Tika yakin tujuan dan matlamat sudah betul, soal kembali ke pangkal jalan tidak timbul ... Inilah jalan yang benar, walau jalan yang ditempuh begitu sukar ... Ini jualah jalan yang paling singkat walaupun terasa berat ...

Hidup jangan dibelenggu rasa jemu dan lesu. Hari-hari adalah lembaran yang baru ... yang perlu dikorek dan diukir dengan keindahan dan keceriaan. Hari-hari adalah peluang untuk mencipta yang terbaik. Nafas dan aliran darah adalah model untuk beribadat ...


Susah dan payah adalah baja yang membina kematangan dalam jatuh bangun menuju ILLAHI ... Sabar dan syukur adalah minyak kepada pelita hidup yang meliuk lentok dipukul badai kehidupan ... Kekadang marak menyala ... kekadang berkerlip berbalam-balam. Namun ... padam tidak sekali-kali!

Tidak gusar bersendirian ... tidak jua tersasar ketika kesunyian ... Berbisiklah pada diri ... tika kau sepi sendiri jangan kau kata kau sepi tapi katakan disisiku sentiasa ada PEMERHATI ... Dalam sekolah kehidupan sentiasa ada pelajaran yang mesti ditempuhi ... sama ada tika diri bersendirian maupun tika berteman ...

Sesetengah ilmu tidak boleh diajar ... tetapi hanya boleh dipelajari. Tiada guru tertentu ... Tetapi hakikatnya diri adalah pelajar sepenuh waktu. Jika datang topeng kepura-puraan ... itulah guru yang mengajar kita erti berhati-hati. Jika mampir bejana kejujuran ...  ilmu keikhlasan.

Usah berubah pendirian ... walau beralih pendekatan. Jadilah wajah yang satu ... di hadapan yang SATU. Jadilah diri sendiri ... Insya ALLAH kau akan tetap menjadi juara ... Tetapi jika berlakon, kau akan menjadi klon yang kedua, ketiga dan seterusnya ... Jangan bermuka-muka hanya untuk menempa nama ... Jangan jua berdiri di bawah teduh bayang-bayang orang lain hanya untuk digelar berjasa.

Bertatih dengan kaki sendiri lebih mulia daripada bersayap emas milik orang lain. Jadilah raja dalam kerajaan diri ... Yang menghirup udara kebebasan dengan kemerdekaan sejati. Mendongak tidak bongkak ... mengalah tidak kalah. Tiada istilah kalah ... cuma kemenangan yang ditangguhkan. Lupakan keperitan lalu setelah diperah segala pengajaran dan iktibar. Kegagalan masa lalu adalah yuran kejayaan masa kini. Menyesal itu bebal ... kesal itu bebal.

Hiduplah seperti orang yang bersedia untuk mati. Insya ALLAH nanti kau akan terus hidup walaupun sesudah mati. Justeru banyak yang kau buat ... akan terus hidup selepas mati. Ingat diri selalu ... hidup di dunia ini penting justeru adanya akhirat.

Sesungguhnya, hidup sebelum mati adalah bekal untuk hidup selepas mati. Berbisiklah pada diri ... "Hidup bukan sekali ..." malah ada hidup tidak berakhir dengan mati. Jadi hiduplah selagi hidup ... kerana hidup ini hakikatnya untuk HIDUP!

Hidup di dunia cuma modal untuk hidup di akhirat.
Hakikat hidup adalah satu perjuangan menempuh jalan pulang.
Andai sesekali terasa lemah tika melangkah ... renungilah alam ini.
Insya ALLAH kita akan dapat belajar hidup daripada hidup-hidupan ...

Pmj ...